Wednesday 20 April 2011

Dahlia & Sheahnee Bahagia Bergelar Muslimah

Buat pertama kalinya MW menggabungkan dua orang personaliti NTV7 sebagai penghias muka depan. Punya aura yang tersendiri, kedua-duanya merupakan saudara baru selain bergelar ibu kepada anak-anak yang comel dan keletah. Baik Daphne atau nama Islamnya, Dahlia Eleanor Iking dan Sheahnee Iman Lee keduanya nyata cukup bahagia selepas bergelar muslimah.
Saat berbicara dengan Dahlia, terpancar citra bahagia di wajah wanita keturunan Kadazan ini. Mengakui bahawa bertukar agama bukan satu perkara besar yang pernah dilakukan dalam hidupnya, dia masih lagi belajar sedikit demi sedikit tentang agama Islam.
Ya, saya rasa tenang dan damai selepas memeluk agama Islam. Saya bertukar agama bukan kerana sesiapa. Saya lakukannya dengan ketulusan hati, demi diri dan masa depan saya. Alhamdulillah, ia adalah pengalaman yang paling indah dan sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata.
Semuanya berlaku dengan cepat dan saya sememangnya merasakan bahawa agama Islam itu dekat dengan diri saya. Saya masih ingat detik-detik saya terbuka hati untuk memeluk agama Islam. Ketika itu saya berada di Taj Mahal, India kerana menghadiri majlis perkahwinan seorang kenalan.
Ketika bersiar-siar di sana dan lalu di hadapan sebuah masjid, hati saya tersentuh dan terbuka untuk memeluk Islam. Ia berlaku secara tiba-tiba malah semua rakan terkejut apabila saya menyuarakan hasrat saya bertukar agama. Dengan bantuan beberapa orang rakan, saya telah memeluk Islam di sana. Selepas pulang ke Malaysia, barulah saya mendaftarkan pengislaman saya,?cerita Dahlia yang tidak menafikan bahawa di sana jugalah dia terbuka hati untuk bergelar isteri kepada Azmi Abd.Rahman atau lebih dikenali sebagai Joe yang turut bersamanya ketika berada di Taj Mahal.

Bukan Sebab Mahu Berkahwin- Dahlia
Menurut pengacara ini, Joe merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Islam kepadanya, namun keputusan memeluk agama itu datang tanpa sebarang paksaan daripada suaminya.
Bagi saya Islam adalah agama yang indah. Saya masih lagi belajar tentang agama ini terutama selepas pelbagai dugaan yang menimpa dalam kehidupan saya. Syukur kepada Allah selepas memeluk agama Islam kes saya dengan bekas suami yang ketika itu masih dalam perbicaraan telah digugurkan. Inilah rahmat dari Allah yang tidak terhingga pada diri saya.
Mungkin ada yang beranggapan bahawa saya memeluk agama Islam semata-mata kerana ingin berkahwin tetapi saya punya alasan yang tersendiri. Sebenarnya takdir yang telah mendekatkan diri saya dengan agama Islam.
Bagi pun keluarga ibu saya juga merupa kan campuran yang unik, datang daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama. Ia membuatkan kami sentiasa saling menghormati terhadap kepercayaan agama- agama lain. Maka sebab itulah apabila saya mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam, keluarga dapat menerima keputusan saya,?ujar Dahlia yang telah memeluk agama Islam pada pertengahan Disember 2010.

Idamkan Anak Kedua
Menceritakan detik-detik perkahwinan keduanya, langkah pertama yang dilakukan oleh Dahlia ialah mengikuti kursus perkahwinan di bumi kelahirannya, Sabah. Walau pun pada mulanya pasangan ini merancang untuk bersatu pada April nanti kerana banyak perkara yang perlu diuruskan namun Allah telah memudahkan segala urusan.
Memang ketika itu saya dan Joe langsung tiada persediaan untuk bernikah tetapi apabila pihak pejabat pendaftar perkahwinan menyatakan yang kami boleh terus dinikahkan, kami semua macam terkejut. Kadang-kadang saya rasa macam tak percaya yang saya kini telah menjadi isteri Joe.
Majlis pernikahan saya hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat sahaja. Nasib baiklah ketika pulang ke Sabah saya bawa bersama baju kurung. Sebenarnya baju kurung itu saya bawa pulang untuk dijahit manik tapi ia kemudian menjadi baju pernikahan saya.
Walau pun perkahwinan ini merupakan perkahwinan kedua bagi kami, saya tetap mengharap kan agar kebahagiaan yang saya kecapi ini berpanjangan hingga ke akhir hayat. Dan saya juga berharap agar kami dapat memperoleh zuriat bagi memperkukuhkan lagi ikatan perkahwinan yang telah dimeterai,?jelas Dahlia yang kini sedang belajar bersolat dan membaca Al-Quran dengan seorang ustaz selain dibantu oleh suaminya.

Solat Menenangkan Jiwa
Berbicara tentang anaknya yang berusia empat tahun kata Dahlia memang dari awal lagi dia menunjukkan minat dengan Islam walau pun masih kecil. Malah katanya, dia tidak pernah sama sekali melarang Isobel mengikut pembantu rumahnya menunaikan solat.

Isobel terlalu muda untuk memahami semua ini tetapi apabila dia memerhatikan pembantu rumah saya solat dan cuba meniru dengan sejadah mininya, itu adalah momen yang cukup manis buat diri saya sebagai seorang ibu. Mungkin semua ini telah dirancang oleh Allah.

Kebetulan pula pembantu rumah saya seorang muslim jadi dialah yang menunjukkan kepada anak saya cara kehidupan Islam. Langsung saya tidak terganggu dengan caranya. Malah saya bersikap terbuka terhadap pelajaran yang positif yang diberikan kepada Isobel," ujar Dahlia.

Sebagai permulaan untuk mempelajari solat, Dahlia merujuk kepada nota yang ditampalkan pada dinding. Malah sejak mendirikan rumah tangga dengan Joe, mereka sering melakukan solat berjemaah dan percaya amalan tersebut adalah salah satu kunci untuk memperkukuhkan ikatan dalam perkahwinan.

Setiap kali menunaikan solat berjemaah dengan suami, saya rasa cukup tenang. Amalan solat berjemaah ini dapat mengeratkan lagi ikatan antara suami dan juga isteri. Suami tidak pernah memaksa saya melakukan sesuatu perkara, contohnya memakai tudung kerana dia sentiasa memberi ruang kepada saya untuk melakukannya dengan rela hati.
Paling penting, saya utamakan yang wajib terlebih dahulu dan saya akan lakukannya secara perlahan. Syukur suami dan ahli keluarga banyak memberi sokongan kepada saya. Hingga ke saat ini saya seperti tidak percaya sudah bergelar isteri kepada Joe kerana bermula sebagai rakan kongsi, akhirnya kami menjadi pasangan suami isteri. Doakan yang terbaik untuk kami berdua,?jelas Dahlia merupakan hos NTV7 untuk program Bella.



No comments:

Post a Comment